JANUARI 2025

Premier Sarawak Berhasrat Jadikan Negeri ‘Norway Timur’ Dengan Sumber Semula Jadi Dan Polisi Inovatif


KUCHING, 13 Januari – YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, melancarkan visi untuk menjadikan Sarawak sebagai “Norway Timur,” dengan memanfaatkan sumber semula jadi, tenaga kerja mahir, dan dasar-dasar inovatif.

Dalam sesi Townhall sempena ulang tahun kelapan beliau sebagai Premier Sarawak yang berlangsung di Hikmah Exchange and Event Centre, Abang Johari menekankan kepentingan mempelajari pengalaman negara-negara yang mempunyai persamaan dari segi sumber, saiz tanah, dan jumlah penduduk.

“Bagi saya, saya telah mengkaji negara-negara Scandinavia seperti Norway, Sweden, Finland, dan Denmark. Jika kita lihat, saiz mereka hampir sama dengan Sarawak. Penduduk mereka sekitar lima juta, manakala kita menghampiri tiga juta.

“Mengapa mereka mampu maju dan apakah yang membolehkan mereka mencapai pembangunan seperti yang kita lihat hari ini? Hasil kajian saya, ia bergantung kepada ketekunan dan dasar yang tepat,” katanya.

Abang Johari menggariskan kejayaan Norway dalam memanfaatkan lokasinya yang strategik di Laut Utara, dengan kekuatan utamanya terletak pada sektor minyak dan gas, serta tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Beliau turut memuji keupayaan Norway menghadapi cabaran ekonomi di Kesatuan Eropah (EU) melalui pengurusan sumber yang berkesan. Selain itu, Norway telah melangkah lebih jauh dengan memanfaatkan tenaga bersih dan teknologi maju, yang memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan stabil.

“Inilah sebabnya saya merancang untuk menjadikan Sarawak sebagai ‘Norway Timur’. Untuk mencapai matlamat itu, kita mesti mengintegrasikan semua faktor yang memungkinkan kemajuan. Kita tidak boleh kekal di belakang; kita mesti bergerak ke hadapan dan bekerja keras,” tegasnya.

Visi ini, menurut Premier Sarawak, memerlukan pelaksanaan dasar strategik yang melibatkan semua sektor utama, termasuk sumber asli, tenaga boleh diperbaharui, dan pembangunan modal insan. Abang Johari percaya bahawa gabungan inovasi dan pengurusan sumber yang cekap akan menjadikan Sarawak peneraju pembangunan mampan di Malaysia.

Beliau turut menyeru rakyat Sarawak untuk bersama-sama menyokong usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan visi tersebut. “Dengan usaha bersama, Sarawak mampu menjadi negeri yang bukan sahaja makmur tetapi juga menjadi contoh kepada negeri-negeri lain di rantau ini,” tambah beliau.